Thursday 10 March 2011

I-City ader salji!!!hip2.. HOOREEEYYY!!!

Ia mulai melanda Shah Alam pada 19/3/2011 ini!!!

KL 8 Mac 11: Hujan salji akan melanda i-City di Shah Alam  pada 19 Mac ini dan fenomena luar biasa itu dijangka berterusan  sepanjang tahun mulai tarikh tersebut.

Perkara ini diumumkan oleh I-Berhad dalam satu sidang akhbar di sini  petang Isnin yang turut dihadiri  oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri  Dr Ng Yen Yen dan Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong. 
Hujan salji tersebut adalah sebahagian daripada inovasi baru dalam  industri riadah yang diperkenalkan oleh i-City kepada para pengunjung ke  taman tema tersebut mulai cuti sekolah ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew,   teknologi yang dibawa khas dari Korea Selatan itu merupakan daya tarikan  baru ke i-City iaitu taman tema seluas 177.8 hektar (72 ekar)  di Shah  Alam yang sebelum ini terkenal dengan gelaran “City of Digital Lights”  kerana limpahan cahaya warna-warni yang menyinari seluruh taman tema  tersebut setiap malam. 
Dikunjungi oleh lebih 90,000 orang pengunjung setiap minggu, i-City  kini merupakan pusat tumpuan pelancongan malam hari yang paling popular  di tanah air. Kata Eu, mulai 19 Mac ini, para pengunjung ke i-City akan berpeluang  bukan sahaja menikmati suasana dan pengalaman sebenar bermain salji  malah menyaksikan bagaimana ‘salji turun ke bumi’ apabila mereka melalui  “Laluan Salji” atau “Snowalk” dalam satu kawasan tertutup seluas 50,000  kaki persegi yang dibina khas untuk memberi kesan khas kepada  pembentukan salji. 
Projek tersebut, katanya dapat direalisasikan dengan kerjasama i-City  dan sebuah konglomerat dari Korea iaitu BarsKorea yang merupakan pakar  teknologi penghasilan ais untuk industri makanan sejak 10 tahun lalu. Kedua-dua pihak telahpun menandatangani perjanjian eksklusif di Korea  Selatan lebih kurang dua minggu lalu untuk memberi hak penggunaan  teknologi itu bagi Malaysia. 
Pengalaman menikmati salji buatan manusia ini adalah yang pertama  seumpamanya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga bagi rantau ini. Ia mempunyai tiga komponen iaitu mesin penyejuk yang berfungsi untuk  menyejukkan air daripada suhu bilik kepada 15 darjah selsius. Komponen  kedua ialah unit kondenser (mesin pemeluwap) untuk berfungsi untuk  menyejukkan tong dram yang bakal menghasilkan salji dan komponen ketiga  ialah 16 unit tong dram yang akan digunakan untuk menghasilkan emping  salji.
Hasilnya ialah, para pengunjung yang melalui Laluan Salji ini akan  berpeluang untuk merasai pengalaman bersalji, bermain salji dan  menikmati suasana sebenar salji sepertimana di negara-negara Eropah atau  negara-negara lain yang bersalji.
Sementara itu, menurut Pengarah Pemasaran i-City, Monica Ong, Laluan  Salji ini terletak di dalam sebuah kawasan seluas 50,000 kaki persegi  dengan suasana dan persekitaran artik beserta suhu di bawah 5 darjah  selsius serta salji setebal 100mm. 
Oleh kerana air yang akan diguna untuk menghasilkan salji ini katanya  telah ditulenkan maka ia pada asasnya adalah selamat untuk dirasa atau  dimakan. Dan sempena dengan pelancaran Laluan Salji pada 19 Mac ini, beliau  memberitahu, para pengunjung berpeluang untuk berkenalan dan menemui  personaliti kartun Nickelodeon iaitu “Dora the Explorer” yang akan  dibawa khas ke i-City dengan kerjasama Nickelodeon Asia Tenggara. 
i-City juga dijangka membawa satu lagi watak kartun popular  Nickelodeon iaitu SpongeBob untuk menghiburkan para pengunjung Laluan  Salji pada bulan Jun nanti. Kos untuk membina Laluan Salji di i-City adalah sekitar RM10 juta dan  pengunjung hanya dikenakan caj sebanyak RM25 (dewasa) dan RM20  (kanak-kanak).

No comments:

Post a Comment